Beliau telah membantu membiayai pengajian seorang wanita di institut pendidikan swasta Kaplan Singapura apabila wanita itu tidak mampu membayar yuran kursus tersebut.

Berikutan langkahnya itu, Kaplan telah memberi ganjaran kepadanya dengan menaja pengajian tinggi anak perempuannya pula.

Itulah ganjaran yang dinikmati Encik John Shu, 50 tahun.

Beberapa bulan selepas pertemuan beliau dengan wanita itu, CikJaycie Tay, 32 tahun, di perhentian bas pada akhir 2013, Encik Shu, seorang juruteknik, memberi kira-kira $6,000 kepada Cik Tay, seorang ibu tunggal empat anak.

Ketika itu Cik Tay bergelut dengan masalah perceraian dan wang untuk meraih diplomanya.

Pada 2014, Cik Tay menamatkan pengajian diplomanya dalam bidang pengurusan pemasaran daripada Institut Pengajian Tinggi Kaplan.

Kira-kira seminggu selepas Kaplan mendapat tahu tentang kebaikan Encik Shu dalam laporan akhbar The Sunday Times, sekolah swasta itu memutuskan membalas jasanya dengan membayarkan hampir $20,000 untuk pendidikan tinggi anak perempuan Encik Shu, Cik Shermin Shu, 22 tahun.

Kaplan kemudian mengundang Encik Shu dan keluarganya ke Kaplan City Campus@Wilkie Edge di Wilkie Road semalam di mana beliau telah dikejutkan dengan berita penajaan tersebut.

Cik Shu kini bercuti di Thailand dan tidak dapat menghadiri majlis itu, maka bapanya menerima tajaan itu bagi pihaknya daripada Presiden Kaplan, Encik Leon Choong.

Encik Shu juga menerima dokumen daripada Kaplan yang mengiktiraf kemurahan hatinya itu.

Bercakap dari Thailand, Cik Shu berkata keluarganya sangat gembira dan menjelaskan bahawa Kaplan telah menelefonnya pagi semalam untukf mengkhabarkan berita itu.

“Saya tidak tahu buat seketika apa hendak dikatakan. Saya fikir saya telah bermimpi kerana siapa sangka perbuatan mudah yang dilakukan ayah saya menghasilkan ganjaran yang baik pada akhirnya,” kata Cik Shu.

“Salah satu cabaran bagi ibu bapa saya adalah membayar yuran pengajian universiti saya… Dengan wang pemberian daripada Kaplan ini ia menjadi pendorong bagi saya agar bekerja lebih keras untuk pengajian universiti saya, dan yang paling penting, ia mengurangkan tekanan yang dirasai ibu bapa saya,” tambahnya.

Cik Shu baru selesai mengikuti kursus diploma tiga tahun dalam bidang komunikasi visual di Politeknik Nanyang (NYP) dan merancang meneruskan minatnya dalam seni dan reka bentuk di peringkat universiti di sini atau luar negara.

Kaplan akan membayar balik kos keseluruhan pendidikan politekniknya bernilai kira-kira $8,000 hingga $9,000. Ia juga akan membantu menyumbang $10,000 bagi ijazah universitinya dalam kursus pilihannya.

Encik Choong menjelaskan bahawa beliau terharu dengan kisah Encik Shu dan Cik Tay selepas membacanya di akhbar dan mengadakan mesyuarat lembaga bagi memikirkan bagaimana sekolah itu boleh membantu Cik Tay.

Setelah mengetahui Cik Tay menerima bantuan dermasiswa daripada Dana Reben Kuning, mereka beralih kepada Encik Shu pula.

“John (Encik Shu) telah memulakan langkah kebaikan dan kami tidak mahu ia berakhir di situ,” kata Encik Choong.

Menurut beliau, Kaplan mengetepikan $250,000 setiap tahun dalam bentuk biasiswa dan penajaan dan ia biasanya untuk pelajar di Kaplan, “tetapi dalam kes ini… kami lakukan di luar kebiasaan. Itulah sebabnya kami terpaksa mengadakan mesyuarat lembaga”.

Cik Tay pula berkata bahawa sebelum ini, beliau berasa sangat bersalah kerana tidak dapat membayar balik Encik Shu, tetapi beliau kini bersyukur.

Bercakap dalam bahasa Mandarin, Encik Shu berkata beliau tidak mempunyai sebarang keperluan dan sangat gembira anak perempuannya mempunyai wang untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau juga amat berterima kasih kepada Encik Choong.

“Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada anak perempuan saya ke universiti,” katanya.

Click to view PDF

Article by Jose Hong
Source: Berita Harian© Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.